Tips Penjagaan Selepas Berkhatan
Seelok-eloknya, luka dibiarkan terdedah untuk mempercepatkan proses luka menjadi kering dan sembuh.
- Luka boleh dicuci dengan menggunakan air normal saline atau air yang dicampur dengan sabun antiseptic bagi mengelakkan jangkitan kuman. Dinasihatkan supaya luka dicuci sebanyak 3 hingga 4 kali sehari.
- Elakkan menggunakan kapas (cotton) untuk mencuci luka kerana serat-serat kapas boleh tertanggal dan melekat pada luka. Sebaiknya gunakan gauze dari klinik atau farmasi.
- Pastikan luka dilap dengan kering selepas dicuci bagi mengelakkan risiko jangkitan kuman atau luka menjadi bengkak.
Kesan ubat bius yang diberikan akan mula berkurangan selepas 1 hingga 2 jam. Ambil ubat tahan sakit mengikut jadual yang ditetapkan untuk mengelakkan sakit yang lebih kuat apabila kesan ubat bius sudah hilang.
Selepas luka dicuci, sapukan krim antibiotik dengan jari yang bersih sebanyak 2 kali sehari selama 3 hari pertama.
- Bagi sesetengah individu, cecair kuning atau keruping akan terbentuk di kepala atau tempat luka. Ini adalah normal dan anda tidak perlu risau. Elakkan dari menanggalkan keruping tersebut ketika ianya kering kerana ia boleh menyebabkan pendarahan.
- Jika keruping terbentuk, rendam penis di dalam bekas berisi normal saline selama 5 hingga 10 minit sebanyak 4 kali sehari bagi melembutkan keruping dan memudahkan ia untuk tertanggal.
Benang yang digunakan adalah benang khas yang akan tertanggal dengan sendiri dalam masa 7 sehingga 14 hari. Anda tidak perlu mencabut benang tersebut.
- Jika anak mempunyai alahan atau allergy kepada sesuatu jenis makanan, elakkan memakan makanan tersebut.
- Makanan berprotein tinggi digalakkan untuk diambil bagi mempercepatkan proses penyembuhan luka. Contoh makanan berprotein tinggi adalah seperti daging, ikan dan ayam.
Masalah-masalah yang mungkin timbul dan tindakan yang perlu diambil.
Pendarahan yang menyebabkan staining pada pembalut luka/seluar dalam adalah normal. Namun, jika berlaku pendarahan yang berterusan dan menitis-nitis, anda boleh bawa anak anda berjumpa dengan doktor.
Nanah berwarna kuning keputihan adalah petanda jangkitan kuman. Cecair kuning yang jernih pula dipanggil sebagai serous discharge dan ini adalah normal. Jika anda mendapati bahawa terdapat nanah keluar dari tempat luka jahitan, anda boleh membawa anak berjumpa doktor.
Bengkak biasanya boleh berlaku dalam masa 48 jam yang pertama selepas prosedur. Bengkak tanpa nanah atau pendarahan adalah perkara normal selepas prosedur. Namun begitu, jika bengkak masih berterusan selepas 72 jam atau bengkak bersama nanah atau pendarahan, anda dinasihatkan untuk segera berjumpa doktor semula.
Kebiasaannya, sakit ketika membuang air kecil adalah disebabkan bengkak di kepala (glans) yang menyebabkan salur kencing sempit. Sakit ini akan hilang apabila bengkak surut. Namun, jika sakit berterusan atau sakit yang terlampau kuat dan anak tidak kencing dalam tempoh 24 jam, anda dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor.
Rasa ngilu atau sensitif adalah disebabkan saraf-saraf yang sensitif di bahagian kepala (glans) yang mula terdedah. Sebelum berkhatan, bahagian kepala (glans) ini dilindungi oleh kulup (prepuce). Ini adalah perkara biasa. Antara cara untuk mengelakkan rasa ngilu ialah dengan menggunakan seluar dalam yang mempunyai ‘ball guard’ bagi mengelakkan bahagian kepala (glans) bersentuhan dengan seluar.